Friday, January 30, 2004

ROGOL?

assalamualaikum, heheheh... masuk lagi...tajuk kat atas tu kontroversi kan? bukannya apa, setiap hari kita ada dengar pasal kes rogol ni... pakguard rogol org la, ayah rogol anak la, lelaki rogol budak kat nurseri isteri dia la, dan mcm mcm la... to u girls, kena beware la selalu... yg lelaki pulak, kawal nafsu tu... bila dah sampai peringkat wajib kahwin tu, kahwin la... kita kena praktik islam dalam hidup kita... n the article below ni sebenarnya lebih kepada perempuan, tapi kalau pihak lelaki nak cek diri pun boleh la baca... artikel ni sekali lagi dipetik dari utusan malaysia... enjoy it!

http://www.utusan.com.my/utusan/content.asp?y=2004&dt=0125&pub=Utusan_Malaysia&sec=Kesihatan&pg=kn_03.htm

=======

Rogol: Enam ciri lelaki perlu diawasi

TIADA perbuatan yang lebih dahsyat dan tidak bermoral dari merogol seorang kanak-kanak apatah lagi, seorang bayi yang tidak tahu apa-apa pun.

Anda mungkin tidak percaya bagaimana seorang lelaki dewasa mempunyai tarikan seks terhadap seorang bayi sehingga mendorongnya untuk merogol?

Kejadian sadis ini memang benar-benar berlaku dan setakat ini, ia banyak terjadi di luar negara.

Malah, jumlahnya dikatakan terus meningkat dengan didahului oleh Afrika Selatan, negara yang mempunyai bilangan pembawa dan pesakit HIV/AIDS teramai di dunia.

Afrika Selatan mencatatkan kes rogol tertinggi di dunia iaitu pada kadar 58 kanak-kanak sehari dan setiap 26 saat bagi wanita dewasa.

Tidak dapat digambarkan bagaimana seksanya seorang bayi perempuan berusia sembilan bulan yang dirogol secara berkumpulan oleh enam orang lelaki berumur antara 24 hingga 66 tahun.

Kejadian itu berlaku di Cape Town, Afrika Selatan lebih kurang dua tahun lalu.

Sementara itu, seorang lelaki di Kent, Washington mengaku bersalah kerana merogol anak perempuannya sendiri yang baru berusia dua bulan. Apa yang menyedihkan, dia dihukum penjara selama enam bulan sahaja.

Trend merogol kanak-kanak dan bayi yang saban hari berlaku di Afrika Selatan ini ada kaitannya dengan mitos tolol yang dipercayai oleh kebanyakan lelaki kulit hitam di sana.

Menurut kepercayaan karut-marut itu, pembawa HIV atau pesakit AIDS yang melakukan hubungan seks dengan seorang dara tidak kira kanak-kanak mahupun bayi, boleh menyapu bersih kuman-kuman penyakit itu daripada badan mereka.

Persoalannya, apakah yang menyebabkan seseorang lelaki itu bertukar menjadi ganas sehingga tergamak merogol kanak-kanak kepercayaan?

Perunding Kesihatan Perilaku, Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr. Khalib Abdul Latiff menjelaskan perkara ini dari perspektif psikologi tingkah laku manusia.

"Keinginan nafsu atau meningkatnya libido adalah satu proses fisiologi bagi manusia dewasa dan remaja normal, lelaki dan wanita.

"Ia terkawal apabila seseorang itu mempunyai nilai-nilai kemanusiaan yang didukung oleh nilai-nilai moral yang tinggi,'' katanya.

Sebaliknya, orang yang mempunyai nilai moral yang lemah atau langsung tiada nilai, apabila terangsang akan terdorong kepada nilai binatang yang melampau.

Menurutnya, adalah agak sukar untuk menentukan ciri-ciri perogol apatah lagi yang mempunyai keinginan seksual terhadap kanak-kanak.

Beliau turut menjelaskan bahawa tidak semua perogol kanak-kanak yang melibatkan kes jenayah, adalah fidofil.

Fidofilia merupakan sejenis gangguan psikologikal yang mana seksualnya lebih menyukai kanak-kanak yang belum mencapai usia baligh.

Bagaimanapun sebagai panduan, mungkin ciri-ciri manusia seperti berikut mesti diawasi walaupun ia tidak boleh dianggap perwatakan khas perogol.

- Pendiam dan selalu mengasingkan diri

- Perilaku yang tidak stabil, cara hidupnya tidak dapat dibaca dan tidak mempunyai satu cara hidup yang rutin

- Tidak aktif berpersatuan, bergaul mahupun bersosial. Masanya banyak dihabiskan dengan diri sendiri dan mungkin melayan fantasinya.

- Dia tidak mempunyai aktiviti umum yang khusus atau hobi seperti memancing, bermain golf, bertemu rakan-rakan di kedai mamak dan sebagainya.

- Melakukan kerja yang tidak melibatkan aktiviti fizikal kecuali petugas yang sememangnya bekerja di dalam bidang pengurusan, penyeliaan dan akademik yang banyak menggunakan mental.

- Kerja `relaks-relaks' dan suka memerhatikan orang. Mereka seperti ini banyak melayan perasaan.

Aktiviti yang dilakukan selalunya tidak berapa positif seperti merokok, termenung, mendengar radio dan menonton televisyen. Melainkan jika mereka rajin membaca bahan-bahan yang serius dan berat.

Mereka yang tidak mempunyai nilai-nilai kemanusiaan agama dan moral. Dia tidak jahat tetapi kepalanya ligat mencari peluang dan ruang.

Biasanya, orang ini tidak mempunyai aktiviti tetap yang boleh menyibukkan dirinya dengan sesuatu perkara untuk diberikan tumpuan.

Dr. Khalib berkata, manusia yang lebih banyak dipengaruhi nilai binatang, keadaannya menjadi sudah tidak waras dan terkawal, tidak mengenal siapa dan tidak ingat apa-apa lagi yang dilakukan.

Baginya, nafsu yang sedang bergelodak mesti dipuaskan dengan apa cara sekalipun manakala ejakulasi mesti berlaku secara sempurna.

Fantasi seks

"Nilai mangsa sudah tidak ada lagi di dalam dirinya dan jika mangsa meronta, menjerit atau melawan, usaha akan dilakukan agar si mangsa tidak sedarkan diri,'' katanya.

Beliau berpendapat, dalam kebanyakan kes yang sukar, mangsa akan dijerut, pukul, cekik atau diberikan tumbukan kuat sebelum keinginan nafsunya dipenuhi.

Tindakan ini perlu dilakukan dalam keadaan yang seselesa mungkin, ertinya si mangsa perlu berada di dalam keadaan menyerah walaupun sudah tidak bernafas lagi.

Selain itu, ia perlu diselesaikan dengan kadar segera semasa kelakuan seksualnya masih memuncak.

Dr. Khalib berkata, kewarasan akan timbul sejurus selepas ejakulasinya selesai sebelum disusuli rasa berdosa, bersalah, takut, menyesal dan sebagainya.

Akibatnya, perogol berusaha untuk menyembunyikan kesalahannya itu sama ada mangsa dibuang atau pemangsa cabut lari.

Masalah timbul jika pemangsa masih hidup dan dengan desakan kewarasan yang mula pulih, pemangsa yang bingung akan bertambah keliru manakala yang `cerdik' akan melarikan diri.

"Rogol beramai-ramai juga berlaku tanpa kewarasan disebabkan oleh nafsu yang memuncak dan suasana yang sangat `mengajak' akibat terangsang dengan rakan-rakan yang sedang melakukannya atau terlihat bahagian tubuh mangsa yang terdedah,'' katanya.

Mengulas lanjut amal perbuatan manusia, seseorang itu juga boleh mempamerkan nilai binatang meskipun mempunyai nilai moral yang kuat.

Ini berlaku apabila adanya keinginan untuk membalas dendam, kecewa, marah dan lain-lain sebab yang menyebabkannya berasa tiada siapa lagi yang boleh menyelesaikan masalahnya.

Setelah melakukannya, dia akan puas dan perbuatannya adalah khusus, memilih dan masih ada pertimbangan.

Mereka yang tiada pertimbangan adalah yang telah nekad melakukan jenayah dan dikategorikan sebagai maniac seperti perogol dan pembunuh bersiri, pencuri serta perompak,'' katanya.

Walaupun bilangan jenis ini umumnya tidak ramai namun padah yang dibawa olehnya adalah sangat serius.

Kesan lembut (jangkitan saluran kencing, kecederaan kemaluan dan hilang dara), kesan pertengahan (jangkitan HIV, Hepatitis B, kecederaan fizikal) dan teruk (kehamilan, trauma mental dan sosial, kematian).

Terdapat juga jenis manusia abnormal yang sedia mempunyai hormon seks berlebihan yang akan memandunya ke arah keinginan seks yang tidak puas-puas.

Ini berlaku kepada kalangan manusia yang secara psikiatriknya terbukti memiliki penyakit keinginan dan fantasi seks yang sangat melampau.

Mereka ini mempunyai kawalan yang baik dan tidak melakukan tanpa kewarasan fikiran sehingga mencetuskan jenayah.

Tetapi, mereka mungkin menceburkan diri di dalam bidang perniagaan yang berkaitan dengannya,'' katanya.

Ditanya saranannya bagi menangani permasalahan jenayah terlalu serius dan melampau sehingga mengakibatkan kematian, kesengsaraan biologi dan mental, Dr. Khalib berkata, langkah terbaik adalah dengan cara membendungnya.

Jenayah seksual hanya boleh dibendung dengan dua cara sahaja iaitu:

1 - Memantapkan ilmu dan nilai agama, moral dan budi pekerti yang terancang, multidisiplin, bersepadu di peringkat pusat, berpanjangan dan sentiasa terpantau.

Pelaksanaan di peringkat komuniti mesti diuruskan dengan sebaik-baiknya bagi membina manusia yang nafsunya `terbungkus' dengan nilai-nilai murni. Lebih penting, ia dikawal sendiri oleh hati dan perasaannya.

2 - Menyediakan persekitaran fizikal, media, sosial, politik, ekonomi, teknologi, budaya, adat dan lain-lain yang kondusif untuk membina kehidupan positif dan terbimbing ke arah kemakmuran keluarga, negara, agama, budaya dan bangsa.

Menurutnya, jika dua pendekatan ini dilakukan dengan betul, dalam jangka panjang, akan lahir satu generasi masyarakat yang kuat bekerja, bermoral dan patuh kepada ajaran agama.

Mengenai bentuk hukuman kepada pesalah laku seks ini, beliau berkata, hukuman adalah tindakan reaktif sedangkan membendung adalah tindakan proaktif.

Sehubungan itu, membendung adalah lebih baik kerana apabila sesuatu perkara itu sudah berlaku, ia tidak memberi apa-apa makna lagi.

Lagipun bilangan yang telah terjadi jauh lebih kecil berbanding bilangan yang belum terjadi iaitu mereka yang berisiko meliputi semua orang,'' katanya.

Tambahnya, kes yang tertangguh atau ruang untuk merayu tidak akan menakutkan sesiapa.

Sebab itulah, katanya, banyak jenayah masih terus berleluasa meskipun mereka tahu ia boleh mati di tali gantung.

Dr. Khalib berpendapat, adalah baik menjadikan hukuman reaktif sebagai pengajaran kepada umum terutamanya bagi mereka yang berjinak-jinak untuk menjadi pemangsa.

Untuk hasil yang lebih berkesan, ia mesti dilaksanakan dengan cara yang berbekas di hati masyarakat dengan menjadikan mereka sangat takut.

Mati di tali gantung, sebat dan sebagainya, tidak akan berkesan sekiranya tidak dilakukan dengan cara yang betul.

Kesengsaraan mesti didedahkan sebagai iktibar dan pengajaran,'' katanya.

=======

1 comment:

Anonymous said...

membaca seluruh blog, cukup bagus