Prolog.
Tiba-tiba seekor lalat terbang dan masuk ke dalam buih Nescafe tarik aku. Menggelupur buat seketika sebelum terus senyap. Tak bergerak. Mungkin sudah berakhirnya kehidupan seekor lalat. 'Kakkk...masuk lalat lah, tolong buat yang lain ya...' kata aku 'Maaflah dik, kakak buat yang lain ya.' Kata kakak itu... dan aku meneruskan kehidupan seperti biasa.
******************************************************************
Nama aku Mat. Nama betul aku tak payahlah korang tahu, cukuplah kalian mengenali aku sebagai Mat sahaja sepertimana kebanyakan rakyat Malaysia ini. Biasalah kan, korang pun selalu dengar "mamat tu kurang ajar betul.. tiba-tibanya masuk ke depan kereta aku, dah lah tak bagi signal..." atau "hari tu tayar kereta aku pancit tepi highway, nasib baik ada Mamat sorang tu berhenti tolong, kalau tidak tak tahulah aku..." atau "Ngko ingat aku tak kenal mamat tu hah? Kalau aku nampak ngko dengan dia lagi, aku bagi kat situ jugak..." Nama Mamat dah menjadi sinonim dengan kehidupan kalian sehari-hari. Aku?
Aku adalah seekor lalat dari spesis Musca Domestica atau Lalat Rumah dari keluarga Diptera iaitu serangga yang mempunyai dua sayap. Aku adalah antara 1.5 juta spesis lalat yang berterbangan di seluruh dunia. Aku berusia 8 hari dan pada usia sebegini aku sudah menjadi dewasa. Aku sudah menghabiskan sekolah rendah dalam masa 2 hari, sekolah menengah dalam masa 2 hari dan melanjutkan pelajaran peringkat ijazah dalam masa 3 hari. Kelmarin aku baru dianugerahkan dengan Ijazah Sarjana Muda Makanan dan Sampah Sarap. Tak ada konvokesyen macam Mat Jan, cuma ambil ijazah di tepi tong sampah sahaja.
Malam tadi, semasa aku berterbangan mencari sesedut makanan, aku singgah sebentar di lorong belakang sebuah bangunan. Aku nampak seorang perempuan yang cantik. Bergaya dan seksi sekali. Aku singgah sebentar di atas bahunya sebab aku nak survey kalau ada sisa-sisa makanan yang ada sekitar kawasan itu. Malangnya aku dihalau dengan libasan tangannya sambil mulutnya memaki hamun aku. "Celaka punya Lalat..!" kata dia. Aku dihina sebegitu rupa seolah-olah aku adalah seekor binatang. Aku bukan binatang, aku adalah serangga. Walau aku dituduh sebagai pembawa penyakit dan virus yang merbahaya bersama-sama Sang Nyamuk, sekurang-kurangnya aku lebih baik dari dia. Seberapa ketika kemudian aku melihat dia dipimpin oleh seorang lelaki masuk ke dalam bilik belakang bangunan. Sekotor-kotor aku, engkau lebih kotor, lebih celaka !.
Aku meninggalkan kawasan kotor itu dengan maki hamun di dalam hati. Aku terbang lagi dan aku mengembara di atas bumi Tuhan ini. Aku sekadar ingin mencari rezeki dari rezeki yang kamu buang dan kamu humban di dalam tong sampah. Hinakah aku?. Rezeki yang Tuhan bagi kepada kamu, kamu bazirkan dan kamu berikan pada aku.Siapa yang lebih hina? Aku tak pernah sia-siakan sisa-sisa rezeki kamu. Kalau banyak, aku panggil kawan-kawan aku. Kami berkenduri di situ. Sekurang-kurangnya aku menyapu-nyapu tanganku sebelum menjamah makananmu tidak seperti kebanyakan kalian yang langsung tidak membasuh tangan. Apabila hari dah pagi, aku terbang melata lagi.
Itulah kerja aku dan itulah kehidupan aku. Aku singgah sebentar di satu tong sampah belakang sebuah rumah.Deria rasaku pada kaki-kakiku memberitahu sesuatu. Ada banyak makanan. Ada yang masih elok untuk di makan oleh kalian. Sudah rezeki aku. Sambil makan, aku melihat pada sehelai surat khabar. Aku membacanya sebaris dua dengan mata yang kabur sebab aku mempunyai mata kumpuan yang mampu menyedarkan aku pada setiap kilas pergerakan. (aku pandai membaca ketika usia aku satu hari di sekolah rendah jenis kebangsaan lalat). Isi beritanya memualkan aku. Berita dari prosiding Mahkamah, berita rogol, bunuh, culik, rasuah dan sebagainya. Selera makan aku terpadam. Dalam masyarakat aku tak ada berita-berita itu semua. Apa yang biasa aku dengar dalam masyarakat aku hanya berita kematian lalat yang ditampar dengan sadisnya oleh manusia, kematian lalat yang disembur dengan Ridsect atau Sheltox,kematian lalat akibat sakit tua atau kematian lalat akibat terkena renjatan elektrik pada perangkap ultra violet. Berita-berita yang memualkan itu menyebabkan aku segera meninggalkan tempat itu. Aku sudah tiada selera untuk makan. Kalian memang memualkan aku. Sehina-hina masyarakat aku, masyarakat kalian lebih hina sebenarnya.
Sambil terbang, aku terfikir. Kenapa aku dituduh dengan bermacam-macam tomahan? Aku tidak pernah berak atas badan kalian tapi kenapa titik-titik hitam ciptaan Tuhan itu dikatakan sebagai tahi aku?. Ironinya, bila tahi aku berada di penjuru bibir kalian, itu dikatakan manis? Kenapa bila kalian pening-pening dikatakan sebagai pening-pening aku? Kenapa aku dijadikan perumpamaan seperti lalat langau mengerumuni bangkai? Sedangkan tahi aku dan kitaran hidup aku pada bangkai itu menjadi maklumat penting kepada Pathologist untuk menganggarkan usia kematian kalian. Kenapa ada juga perumpamaan 'lalat terbang dipipiskan lada' ?. Eh, itu burung, ngko jangan nak tipu aku. Aku Bahasa Malaysia dapat 'A' tau.
Begitulah buruk dan hodohnya aku pada mata kalian. Kadang-kadang aku pun ingin menjadi seperti burung. Terbang tinggi menyapu awan tapi aku tetap bersyukur dengan anugerah Tuhan. Dengan sayap-sayap ini aku belajar erti kehidupan kalian. Walau aku cuma mampu hidup selama 40 hari dan sekiranya aku melangkaui 40 hari kemungkinan aku mampu hidup sehingga ke 100 hari. Itu hakikat kehidupan aku yang mungkin kalian tidak tahu. Aku hanya mampu berdoa agar aku mampu hidup sehingga 100 hari dan aku cuba menghindari kawasan-kawasan berisiko tinggi. Tidak seperti kalian yang mencari mati di atas jalan-jalan raya dengan motosikal-motosikal dan kereta-kereta turbo bagaikan pelesit. Peliknya, aku masih dipandang hina dan bodoh.
Matahari semakin tinggi dan cuaca menjadi semakin panas. Aku perlu mencari tempat yang nyaman untuk aku tenangkan fikiran. Bukan tempat yang terlalu sejuk dan membeku kerana di tempat sebegitu, aku mampu pengsan selama berpuluh-puluh hari dan aku hanya akan sedar sekiranya aku dipanaskan balik dengan sedikit haba.
Aku terjumpa sebuah tempat yang berhawa dingin, sebuah pejabat yang cantik. Aku masuk dengan menumpang seseorang yang membuka pintu. Aku terbang dengan ceria sebab tubuhku menjadi sedikit dingin terkena hembusan pendingin hawa. Aku terpandang sebuah komputer yang terbuka dan seseorang sedang mangadapnya dengan penuh konsentrasi. Aku singgah sebentar di atas kerusinya. Dia tidak menyedarinya. Terlalu asyik dia. Aku cuba membaca apa yang terpapar pada skrin komputer. 'Ah !, sebuah Blog dengan nama Life Is A Fairytale... terdapat sebuah catatan tentang seekor lalat, apa ke jadahnya dia membaca cerita pasal lalat? Tak ada kerja ke dia? Boss dia tahu atau tidak yang dia sedang berpura-pura berkerja? Apa dia tak sedar yang majikannya membayar gaji dia untuk membuat kerja dan bukannya membaca sebuah cerita tentang entah apa-apa..' bisik hati kecil aku. Manusia, manusia...
Lalu aku terbang meninggalkan dia yang masih lagi membaca catatan tentang seekor lalat. Mungkin dia ingin tahu tentang ending cerita lalat. Menarik sangat kah cerita seekor lalat?. Entahlah... dan aku masih dianggap kotor, jijik dan hodoh.
*********************************************************************
Epilog.
Lalat itu meninggal di dalam buih-buih air Nescafe tarik aku pada usia 10 hari. Dia tidak sempat menatap terbitnya fajar ke 100 harinya. Mungkin itu sudah ketentuannya. Kalau dia hidup sehingga 100 hari mungkin dia sudah menjadi presiden lalat-lalat dan dengan daya fikirnya yang tinggi, dia mungkin mampu mengumpulkan lalat-lalat seluruh dunia dan menyerang manusia. He he he. Jangan marah lalat.
(kajian menunjukkan bahawa 80 peratus manusia yang membaca cerita ini akan memandang ke belakang kerusinya dan mencari kot-kot ada lalat....)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment