Thursday, January 03, 2008

MY ALMA MATER...


hmm... if i could only turn back time...

(iklaneka - klik sini)

MTD tinggalkan 1001 nostalgia

APABILA sebut sahaja Maktab Tentera Diraja (MTD) atau RMC, ramai orang terutamanya pelajar-pelajar yang menuntut di tingkatan satu hingga lima di negara ini pasti terbayangkan suasana persekolahan bersifat ketenteraan dengan disiplin yang ketat.

Tanggapan sebegitu ada kebenarannya kerana dalam melahirkan pemimpin berkualiti sama ada dalam tentera mahupun perkhidmatan awam dan swasta, disiplin adalah perkara asas di MTD atau lebih dikenali dengan nama Inggerisnya, Royal Military College (RMC).

Antara tokoh-tokoh ternama tanah air yang pernah menuntut di maktab ini ialah Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Abdul Aziz Zainal; bekas menteri, Tun Dr. Ling Liong Sik; Pengerusi Eksekutif Westport (M) Berhad, Tan Sri G. Gnanalingam; Pengerusi Malaysian Airlines System (MAS) Berhad, Datuk Munir Majid dan bekas pemain hoki kebangsaan, Minarwan Nawawi.

Ketika penulis ke maktab yang terletak di dalam Kem Tentera Sungai Besi, Kuala Lumpur baru-baru ini untuk menyaksikan Perbarisan Tahunan dan Penyampaian Hadiah 2007 pelajar-pelajar di sana, semangat setiakawan pelajar-pelajar dalam mood ketenteraan jelas terasa.

Selepas tamat kedua-dua upacara tersebut, para pelajar tingkatan lima yang baru selesai menjalani peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan bakal meninggalkan MTD kelihatan sugul untuk berpisah dengan rakan-rakan mereka di maktab berkenaan.

Apatah lagi, perbarisan tahunan tersebut merupakan perbarisan terakhir mereka (pelajar tingkatan lima) selepas empat kali melaluinya bersama sejak mula memasuki MTD pada 2004 iaitu di tingkatan dua.

Di sebalik memori MTD yang bakal menemani mereka sepanjang hayat, beberapa pelajar cemerlang di sana yang menerima anugerah sempat berkongsi pengalaman mereka.

Pegawai Rendah Kanan (PRK) Mohd. Farhan Kamarulbahrin, 17, berpendapat, latihan dan disiplin ketat di MTD mengajarnya berdikari dan memandang dunia dalam perspektif berbeza.

Untuk tahun 2007, Mohd. Farhan muncul sebagai pelajar cemerlang apabila menerima Hadiah Komandan, iaitu hadiah tertinggi untuk pelajar maktab berkenaan.

“Di sekolah ketenteraan sebegini, kami bangun seawal pukul 5.30 pagi dan sebelum ke kelas kami akan berbaris di tepi katil masing-masing untuk standby bed atau perbarisan pemeriksaan bilik.

“Kemudian kami akan ke kelas dengan pakaian tentera sehingga pukul 1.50 tengah hari dan berehat sebelum memulakan aktiviti sukan selepas waktu Asar,” katanya ketika ditemui.

Selain itu katanya, perhimpunan di MTD yang diadakan setiap hari sebelum waktu kelas kecuali pada hujung minggu berupaya mengajar mereka mendekatkan diri dengan dunia ketenteraan yang penuh disiplin.

Dikenang

Dalam pada itu padanya, memori pahit yang akan terus dikenangnya sepanjang menuntut di MTD adalah dibuli seperti disuruh tekan tubi dan lain-lain aktiviti fizikal lain pada waktu-waktu yang boleh dikira tidak munasabah (lewat malam, awal pagi, subuh, tengah hari) oleh pelajar senior.

Ini kerana menurutnya, perkara itu telah membuatkan dia lebih cekal, bersedia dan tidak takut untuk berhadapan dengan apa-apa situasi buruk selepas ini.

“Ternyata perkara itu mengundang nilai-nilai positif seperti lebih berkeyakinan dan menguatkan tali persahabatan antara kami semua di MTD asalkan ia tidak terlalu keterlaluan,” jelasnya.

Sebagai penerima anugerah tertinggi tahun 2007, Mohd. Farhan telah memperoleh keputusan 8A dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2005 serta pernah mewakili maktabnya sebagai ketua pasukan pertandingan polo air peringkat Kuala Lumpur.

Selain itu dia juga pernah menerima Merit Award semasa menyertai kursus bina semangat di Outward Bound Malaysia di Lumut, Perak serta mewakili MTD dalam acara beberapa siri triathlon di peringkat antarabangsa.

Bagi Penerima Hadiah Pengarah Pengajian, Pegawai Rendah Muda (PRM) Thong Vie Chong pula, MTD merupakan sebuah maktab yang menarik untuk ‘didiami’ oleh ‘budak lelaki’ (interesting place for a boy to live in).

Katanya, ini kerana kolej tersebut menekankan asas-asas penting dalam membentuk seorang lelaki dan berketerampilan melalui konsep-konsep seperti kepimpinan dan kesukanan.

Seperti sekolah berasrama (SBP) penuh lain katanya, penuntut-penuntut di sekolah militer ini juga tidak dapat lari daripada dibuli oleh pelajar senior.

“Tetapi itu semua tidak penting kerana ia sebenarnya mengukuhkan perhubungan antara pelajar baru dan lama selain menguatkan kami dari segi fizikal dan psikologi,” ujarnya.

Sebagai penerima anugerah tertinggi bidang akademik, Vie Chong memperoleh 7A dalam PMR 2007 dan 12A1 dalam peperiksaan percubaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu.

Dia yang juga merupakan wakil MTD ke Kuiz Sejarah Perdana dan Kuiz Sains Nasional Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2006, turut memperoleh kredit dalam kuiz English International Assessment, University of New South Wales, Australia pada tahun yang sama.

Pelajar dari Pahang serta aktif berenang ini bercita-cita untuk menjadi pakar neurologi dalam pasukan tentera satu hari nanti.

“Pada saya, bidang neurologi adalah yang paling sukar dalam disiplin perubatan tetapi itulah yang menjadi tarikan kerana saya sukakan cabaran,” jelasnya.

Sementara itu, penerima Hadiah Jemaah Tadbir, Putera Kanan (PK) Mohd. Fadly Hariz Mohamad Hafiz pula sanggup keluar dari sebuah sekolah berasrama penuh untuk memasuki MTD semasa di tingkatan dua kerana mahu merasai sendiri cabaran sekolah militer.

Ternyata dengan disiplin yang dipupuk dalam MTD, dia yang aktif dalam pelbagai jenis sukan berjaya memperkembangkan minatnya itu di samping turut memberi perhatian kepada pelajaran.

Katanya, maktab ini dapat mendisiplinkan pelajar dengan baik selain turut mengajar mereka daripada segi berpakaian.

“Saya kini tidak malu-malu untuk menghadiri apa-apa jenis majlis keramaian terutamanya yang rasmi kerana selama empat tahun di MTD, kami telah didedahkan dengan pelbagai protokol,” katanya yakin.

Kenangan manis

Menurutnya pengalaman paling manis selama di MTD ialah semasa hari perbarisan tahunan akhir mereka pada Disember tahun lalu apabila menerima anugerah tertinggi dalam sukan yang disampaikan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Abdul Aziz Zainal.

“Bayangkan perasaan saya sebagai pelajar tingkatan lima pada waktu itu ketika menerima anugerah daripada individu tertinggi dalam Angkatan Tentera Malaysia,” ujarnya bangga.

Mohd. Fadly yang aktif dalam bola baling dan ragbi pernah mewakili MTD sebagai ketua pasukan kejohanan ragbi Cobra-HSBC 10 Sebelah, Kejohanan Ragbi Sekolah-Sekolah Premier Kebangsaan.

Pelajar dari Negeri Sembilan ini juga pernah terpilih mewakili MTD menyertai Ekspedisi Kinabalu dan Ekspedisi Berkayak dan Berbasikal.

Katanya, perkara yang paling menyedihkan sepanjang di MTD adalah sewaktu upacara keluar perbarisan baru-baru ini di mana kesemua pelajar tingkatan lima pada masa itu berkawad keluar sambil menyanyikan lagu Bertemu dan Berpisah.

“Pada masa itu semua memori pahit manis sepanjang pengajian di maktab muncul di ‘hadapan mata’ satu persatu,” ceritanya dalam nada sayu.

Menjawab kepada soalan yang standard diajukan penulis, ketiga-tiga pelajar cemerlang ini mengakui mahu memutar balik waktu untuk berada di MTD bagi melalui semula segala pengalaman di sana.

Dengan kualiti yang ada pada bekas-bekas putera ini, MTD diharap agar dapat melahirkan lebih ramai pemimpin utama tanah air dalam pelbagai bidang.

Komandan MTD (seperti peranan guru besar sekolah), Kepten Syed Zahirudin Putra Syed Othman dalam ucapannya baru-baru ini menyatakan keyakinan bahawa pada masa akan datang, tidak mustahil akan ada daripada kalangan bekas putera MTD bakal menjadi Perdana Menteri.

Perkara ini disokong pula dengan pengumuman oleh Jeneral Tan Sri Abdul Aziz bahawa MTD bakal menawarkan kursus diploma dalam International Baccalaureate (IB) mulai 2009 sebagai persiapan awal putera-putera MTD diterima masuk ke universiti dalam dan luar negara.

Ini bermakna, MTD akan menjadi antara tiga sekolah milik kerajaan di negara ini yang terawal menawarkan IB, selain Kolej Tunku Kurshiah (TKC), Seremban dan Maktab Melayu Kuala Kangsar (MCKK).

Dengan itu, MTD akan lebih berupaya menyediakan modal insan yang lebih berketerampilan untuk negara.